Post Top Ad

Sunday, January 23, 2011

Aku Nak Jadi Orang

Petang itu cahayanya cerah. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa meniupkan pelepah-pelepah kelapa menggambarkan suasana desa kampung yang harmoni. Beberapa ekor bangau melepak bersama kerbau-kerbau di kawasan sawah padi seolah-olah memberitahu terdapatnya jalinan utuh antara mereka bersama. Pokok-pokok rambutan yang lebat buahnya menzahirkan keindahan ciptaan Ilahi. 


Tanpa disedari, sebenarnya mereka semua sedang bertasbih dan memuji Allah, tanda taat kepada-Nya.


Khairul dan ayahnya sedang berehat di atas kerusi ringkas di bawah sepohon jambu yang tidak berbuah. Seperti biasa, mereka berbual-bual tentang isu semasa. Tetapi petang itu, dia ingin mengutarakan soalan yang lama terpendam dalam hati kepada ayahnya.


"Abah, Khairul nak tanya sikit boleh?", kata Khairul.


"Tanyalah", jawab ayahnya.


"Sebenarnya, Khairul tak ada cita-cita. Khairul tak tahu nak jadi bila besar nanti. Abah nak Khairul jadi apa?", kata Khairul sambil memandang wajah ayahnya menantikan sebuah jawapan. 


Lantas perlahan-lahan ayahnya meletakkan tangan ke atas bahu Khairul dan berpaut padanya seperti sepasang sahabat yang sangat rapat sambil mengalirkan arus kasih sayang kepada anak sulungnya itu.


"Khairul, abah nak Khairul jadi orang. Itu saja", jawabnya ringkas. 


Lantas dengan laju jari-jemari Khairul menggaru kulit kepalanya yang tidak gatal sambil mempamerkan wajah pelik kepada ayahnya tanda tidak faham dengan kata-kata ayahnya.
Melihat Khairul begitu, ayahnya tersenyum sambil berkata, "tak mengapalah Khairul, suatu hari nanti Khairul akan faham".


Khairul tidak berpuas hati dengan jawapan ayahnya itu. Malam itu, dia mengutarakan soalan yang sama kepada ibunya mengharapkan jawapan yang memuaskan hatinya. Tapi, jawapan yang sama diberi ibunya.


"Mak nak Khairul jadi orang", kata ibunya.


"Memang Khairul orang pun mak", kata Khairul tanpa menyedari jarinya sudah melekat sekali lagi menggaru kulit kepala yang tidak gatal. Ibunya tersenyum melihat gelagat anak kesayangannya itu.


"Nanti khairul dah besar nanti, Khairul fahamlah tu", kata ibunya.


Beberapa hari selepas itu, berlakulah satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan Khairul sampai sekarang. Sudah menjadi kebiasaan Khairul dan kawan-kawannya bermain 'kad tepuk'. 'Kad tepuk' ini merupakan sebuah permainan kanak-kanak yang berbentuk perjudian. Dengan berbekalkan duit syiling 10 sen, sepapan kad yang mempunyai pelbagai gambar di depan dan nombor kad terup di belakang dibeli. 


Apabila hendak bermain, setiap pemain dikehendaki bertaruh sebanyak beberapa keping kad. Apabila 'line clear', atau tiada guru, maka berlaku pertandingan tepuk-menepuk antara mereka. Setiap kad yang bejaya diterbalikkan angin hasil tepukan, menjadi milik kekal penepuk itu. Nah, inilah bentuk-bentuk perjudian halus yang dilakukan Khairul. Tapi ketika itu, Khairul tidak tahu definasi sebenar judi kerana dia masih kanak-kanak. Malam itu, seperti biasa, ibunya ingin menyemak hasil pembelajarannya di sekolah. Tapi, kad hasil kemenangan tadi yang dijumpai.


"Aduh, habislah aku. Lupa pulak nak simpan tadi," Khairul bermonolog sendirian.


"Khairul! Apa benda ni?," tanya ibunya dengan nada marah sambil menunjukkan kad itu kepada Khairul. Khairul hanya mampu menunduk.


Lantas ibunya bangun mengambil sebatang rotan yang sederhana saiznya tapi besar impaknya dalam hidup Khairul. Jantung Khairul berdegup kencang bagaikan enjin motor ayahnya kerana takutkan rotan itu.


"Tahu tak apa ni?," tanya ibunya.


"Kad judi," jawabnya.


"Selama ni mak hantar pergi sekolah suruh belajar bukan suruh main benda ni. Tadah tangan cepat!", perintah ibunya.


Maka tangan Khairul pun dicium rotan itu tanda sayang seorang ibu yang ingin membentuk anaknya menjadi anak yang soleh.


"Ingat, mak nak Khairul jadi orang, bukan binatang", kata ibunya.


Tapi Khairul yang masih kecil ketika itu masih tidak memahami maksud ibunya. "Khairul memang orang. Bukan binatang", dia bermonolog sendirian tanda protes tapi dalam diam sahaja.


Sejak kecil lagi Khairul sudah diterapkan dengan nilai-nilai Islami. Khairul dipaksa pergi ke surau sebelum masuk waktu, membaca Al-quran setiap hari, dan macam-macam lagi. Tujuannya hanya satu, untuk melatih Khairul menjadi 'orang'. Pada mulanya Khairul tidak suka diperlakukan sedemikian rupa tapi pabila dia sudah biasa, Khairul merasa halawatuliman dan jatuh cinta kepada Islam dan Penciptanya.


Alhamdulillah, Khairul telah mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dan ditawarkan ke SMKA Kerian. Maka, dia terus dilatih menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya.


"Jadikan hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini."


Itulah perinsip yang dipegang Khairul. Semakin hari, dia semakin memahami maksud kedua orang tuanya iaitu menjadi 'orang', bukan 'binatang'. Setiap hari, Khairul terus berusaha untuk majukan dirinya dengan mengimbangkan ketiga-tiga perkara ini, iaitu jasmani, akal dan roh. Dia bermain setiap petang, berusaha dalam pembelajarannya dan beribadah dengan istiqamah. Dia ingin bertawazzun (mengimbangkan) ketiga-tiga perkara ini supaya dirinya menjadi seorang muslim yang berjaya.

Tahun demi tahun berlalu, Khairul telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR. Pada suatu ketika di satu per tiga malam,dia berkhalwat seorang diri sambil bermuhasabah diri. Dia mengimbau kenangan dan dosa yang terdahulu lalu teringat pesan kedua orang tuanya yang mahukan dia menjadi 'orang'.

"Abah, mak, Khairul dah berjaya jadi 'orang'. Terima kasih banyak-banyak abah, mak, sebab didik Khairul. Khairul akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dunia akhirat. InsyaAllah." Khairul bermonolog sendirian sambil menitiskan air mata lantas berdoa.

''Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kedua ibu bapaku dan kasihilah mereka sepertimana mereka mengasihiku sewaktu aku masih kecil''. 




Glosari :-

monolog   : dialog dengan diri sendiri
halawatul : kemanisan
istiqamah : berterusan
khalwat    : duduk bersendirian

nota kaki : aku ske bace cerpen nie...sgt ske :))
             : dipetik dari i luv islam

entry posted by:
11:57:00 PM / by / 0 Comments

No comments:

Post a Comment

Thank you. Your comment is much appreciated. MUCHAS GRACIAS ;)

Post Top Ad